Saturday, June 22, 2013

Transfer Season : Who Arsenal Ladies should get?

Perlawanan separuh pertama musim sudah tamat dan 23 pemain England yang dipanggil Hope Powell untuk UEFA Women's EURO di Sweden bulan depan telah disenaraikan, kini kelab-kelab di England sibuk memerhatikan pemain yang tersedia untuk dibawa masuk dan Arsenal Ladies dilihat akan menjadi pasukan paling sibuk selepas tidak membuat sebarang perpindahan pemain sepanjang November 2012 ke Mac 2013 yang lalu.

Perpindahan untuk liga FA WSL dan untuk bola sepak wanita secara umumnya, tidak serupa dengan perpindahan bola sepak lelaki. Para pasukan bola sepak wanita tidak akan membayar sebarang wang kepada pasukan pemain tersebut kecuali dalam beberapa kes yang istimewa. Namun ianya sesuatu yang jarang berlaku. Perpindahan bola sepak wanita lebih simple dan tiada sebarang wang besar akan terlibat.

Ianya hanya akan menjadi sukar jika pemain yang dimahukan sesebuah pasukan masih mempunyai kontrak bersama pasukannya. Ini akan menyaksikan pemain tersebut perlu berbincang dengan pasukannya dan menamatkan kontraknya secara persetujuan bersama untuk membuat perpindahan. Arsenal Ladies dijangka perlu melihat pemain dari pasukan luar negara kerana pemain yang mungkin dimahukan mereka dari kelab persaing FA WSL, pasti akan keberatan untuk melepaskan pemain penting mereka.

Namun adakah Arsenal Ladies perlu membawa masuk pemain baru? Jawapannya adalah ya. Sebabnya adalah Arsenal Ladies mempunyai antara skuad paling kecil di saingan FA WSL. Dengan permergiaan Julie Fleeting dan persaraan Faye White tidak membantu hakikat Jayne Ludlow keluar masuk pasukan sepanjang musim ini atas faktor yang tidak diketahui. Hakikat beberapa pemain sudah berusia 30an telah menyaksikan Vic Akers dan Shelley Kerr perlu membawa masuk wajah baru untuk menggantikan pemain senior tersebut yang mungkin akan mengantungkan boot mereka pada penghujung tahun ini.

Masalah kecederaan semakin tidak membantu. Kelly Smith hanya beraksi lebih kurang 30 minit sepanjang separuh pertama musim sementara Rachel Yankey telah terlepas beberapa perlawanan kerana kecederaan hamstring. Katie Chapman pula dijangkan hanya kembali pada Ogos ataupun September nanti. Ini menyaksikan bangku simpanan Arsenal Ladies dihuni oleh pemain muda yang terdiri daripada Jade Bailey, Bianca Bragg dan Lauren Bruton selain daripada dua pemain senior Rebecca Spencer dan Yvonne Tracy.

Ketiga-tiga mereka sememangnya pemain yang berpotensi besar. Perkara yang boleh diperkatakan kepada hampir semua pemain produk akademi Arsenal Ladies. Namun kekurangan pengalaman mereka membuatkan peminat gelisah. Jade Bailey telah membuktikan potensinya sebagai pemain masa depan Arsenal Ladies. Bukan hanya pemain yang berada disebelah David Beckham di atas bot laju semasa memberikan obor Olimpik.

Sementara perkembangan Lauren Bruton telah dihimpit dengan kecederaan serius musim lalu. Bruton pernah memecah masuk skuad utama dan telah menjaringkan beberapa gol pada kempen liga 3 tahun lalu. Namun dengan Kelly Smith cedera, hanya Ellen White muncul penyerang Arsenal yang cergas. Dengan Danielle Carter lebih banyak bermain di bahagian sayap, Bruton tidak mampu untuk menjadi plan B Arsenal jika perkara tidak berjalan dengan sepatutnya.

Bianca Bragg lebih banyak bermain untuk Arsenal pada perlawanan yang berprofil rendah. Seperti perlawanan menentang pasukan bawahan dari Women's Premier League ataupun perlawanan mudah di Champions League. Ini menyaksikan Bragg tidak pernah diberikan peluang untuk menunjukkan potensinya pada perlawanan besar.

Untuk posisi penjaga gol, ianya sesuatu yang pastinya tidak akan difikirkan Vic Akers dan Shelley Kerr untuk diperkuatkan. Emma Byrne merupakan salah seorang penjaga gol terbaik liga dan dunia dan ini menyaksikan hasrat Arsenal Ladies untuk mendapatkan penjaga gol nombor 1 England, Karen Bardsley dilupakan pada awal tahun lalu. Byrne masih mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun lagi di tahap tertinggi namun ianya banyak bergantung kepada bilakah beliau akan mengantungkan sarung tangannya.

Prestasi Byrne sejak musim lalu mudah dipersoalkan namun beliau sering bangkit dan menampilkan persembahan yang baik disaat yang diperlukan. Sementara Rebecca Spencer telah membuktikan bakatnya sepanjang musim lalu ketika dipinjamkan ke Birmingham City Ladies musim lalu. Selepas muncul hero pasukan di final Piala FA, Spencer hampir menafikan kejuaraan 'double' Arsenal Ladies di final Piala Continental jika bukan kerana rembatan cantik Kim Little.

Ianya sesuatu yang tidak perlu difikirkan Arsenal Ladies sekurang-kurangnya untuk satu tahun lagi melainkan sesuatu terjadi. Apabila tiba masanya nanti, Arsenal Ladies tidak perlu melihat jauh. Bekas graduan akademi Arsenal Ladies, Sarah Quantrill mampu menjadi penjaga gol berpotensi untuk menyarung jersi nombor 1 Arsenal Ladies hasil persembahan baiknya untuk Chelsea Ladies dan Liverpool Ladies sejak musim lalu. Jika penjaga gol berpengalaman yang dicari, Siobhan Chamberlain dari Bristol Academy akan menjadi pilihan yang wajar selain Karen Bardsley. Mary Earps dari Birmingham City Ladies menjadi satu lagi pilihan untuk masa depan.

Untuk posisi pertahanan, bek kanan dan kiri dilihat cukup kukuh. Posisi bek kanan sememangnya cukup kukuh. Namun sudah semestinya bergantung dengan hasrat Alex Scott sama ada akan berhijrah tahun hadapan ataupun tidak. Untuk posisi bek kiri, Niamh Fahey jika cergas akan diturunkan sementara Jennifer Beattie berkebolehan sebagai penggantinya. Steph Houghton juga mampu mengisi posisi bek kanan dan bek kiri tanpa sebarang masalah dengan Gilly Flaherty turut tiada masalah untuk beraksi di serata posisi pertahanan.

Masalah terbesar Arsenal Ladies di posisi pertahanan adalah mereka hanya mempunyai 3 pemain pertahanan tengah sejati. Ciara Grant hanya menghitung hari sebelum menggantung bootnya dan Yvonne Tracy sering menjadi back up berbanding permulaan kesebelasan utama. Gilly Flaherty perlukan gandingan baru untuk masa depan. Sophie Bradley daripada Lincoln Ladies mampu menjadi pilihan cemerlang namun sebarang keputusan untuk mendapatkannya perlu tunggu sehingga hujung tahun ini kerana Lincoln pasti tidak mahu kehilangan pemain pertahanan terbaiknya di pertengahan musim.

Dengan khabar angin dari Jeman yang Emma Mitchell telah sah menyertai Arsenal Ladies, Mitchell mungkin bakal menjadi gandingan Flaherty namun Mitchell telah beralih daripada pemain pertahanan kepada penyerang dan pastinya beliau lebih selesa untuk beraksi lebih ke atas. Terutama sekali dengan kadar jaringan golnya per perlawanan. Mitchell terlah menjaringkan 38 gol daripada 35 perlawanan untuk Glasgow City namun rekodnya di Jerman bersama SGS Essen tidaklah begitu mengkagumkan dengan hanya 1 gol daripada 10 perlawanan.

Steph Houghton dan Jennifer Beattie mungkin turut mampu beraksi di posisi pertahanan tengah namun para peminat pasti lebih suka melihat Houghton beraksi di posisi bek ataupun di barisan tengah kerana kebolehannya untuk menyerang dan menjaringkan gol cantik. Sementara Beattie selain daripada seorang bek kiri yang cemerlang turut mampu menjadi seorang penyerang yang cukup fizikal dan seperti yang dilakukan Laura Harvey musim lalu, Beattie mampu menjadi plan B Arsenal.

Barisan tengah Arsenal merupakan barisan tengah yang dicemberui setiap pasukan di FA Women's Super League. Gandingan Kim Little, Katie Chapman dan Jordan Nobbs musim lalu telah muncul faktor utama Arsenal Ladies memenangi liga tanpa sebarang kekalahan. Chapman yang memulakan serangan daripada bahagian bawah sementara Nobbs mempunyai tenaga untuk berlari sepanjang 90 minit dan Little melakukan perkara yang sering dilakukannya iaitu sama ada menjaringkan gol ataupun mencipta peluang gol.

Dengan Steph Houghton turut mampu beraksi di posisi tengah dan Jayne Ludlow turut mampu memberikan sudut defensif apabila bermain di barisan tengah selain menjaringkan beberapa gol, barisan tengah Arsenal dilihat cukup utuh terutama sekali dengan kehadiran pemain muda, Jade Bailey. Namun pernambahan seorang atau dua lagi pemain tengah jelas tidak akan menjejaskan pasukan. Dengan masa depan tidak menentu daripada Ludlow dan Chapman hanya akan kembali pada Ogos atau September ini, pernambahan satu atau dua pemain di barisan tengah jelas akan dialu-alukan.

Dengan pemain muda Scotland, Caroline Weir dilaporkan sah menyertai Arsenal, beliau dilihat akan menjadi pemain masa depan. Baru berusia 18 tahun, Weir merupakan produk akademi Hibernian Ladies, pasukan sama yang mendidik Kim Little sebelum menyertai Arsenal Ladies. Jika Caroline sebagus ataupun hampir bagus seperti Little pada usia 18 tahun, ini bakal menjadi penambahan yang cemerlang walaupun jelas segelintir peminat lebih gemar akan kemasukan pemain yang lebih berpengalaman. Namun jika Caroline Weir mampu menjadi Kim Little baru Arsenal Ladies, ianya sesuatu yang tidak masuk akal untuk tidak gembira.

Posisi penyerang dilihat cukup merbahaya di atas kertas. Dengan Rachel Yankey dan Gemma Davison di bahagian sayap dan Ellen White ataupun Kelly Smith mengetuai serangan dan Danielle Carter menjadi pengganti berkaliber dari bangku simpanan, barisan serangan Arsenal sememangnya menakutkan. Namun apa yang hilang adalah hakikat Kelly Smith hanya beraksi 30 minit sahaja musim ini sebelum mengalami kecederaan serius dan Yankey terlepas beberapa perlawanan kerana kecederaan hamstring.

Ini menyaksikan barisan serangan Arsenal kehilangan pengganti yang berwibawa dari bangku simpanan untuk masuk dan menukar permainan di saat yang diperlukan. Kehadiran seorang lagi penyerang sudah mencukupi dengan Kelly Smith dilihat akan kembali pada Ogos ini dan sudah semestinya ianya bergantung sama ada beliau akan mengalami kecederaan di Sweden nanti ataupun tidak.

Buat masa ini Arsenal Ladies masih belum mengesahkan kemasukan pemain baru. Namun pasukan Emma Mitchell, SGS Essen telah mengesahkan perjanjian tersebut di laman web mereka dan juga media di Jerman. Sementara dalam kes Caroline Weir, beberapa orang telah melihat 'tweet' yang dipostkan Hibernian Ladies sebelum dipadam kemudiannya. Malahan laman web sekolah Dunfermline High School turut mengesahkan pelajarnya itu akan melanjutkan pelajarannya di Universiti of Hertfordshire yang dikenali sebagai Universiti tempat ramai pemain muda Arsenal Ladies melanjutkan pembelajaran mereka. Apa-apa pun kita tunggu pengesahan di arsenal.com.

0 comments:

Post a Comment